Tersebutlah kisah, sebuah kafilah sedang merentas padang sahara. Hawanya panas terik membakar kulit. Kelihatan bergenang fatamorgana dataran air berbatu-batu jauhnya. Kafilah bergerak perlahan. Manakan tidak, unta-unta diikat antara satu sama lain dalam satu barisan. Jalannya pula selangkah demi selangkah meredah lautan pasir.
Seorang kanak-kanak sembilan tahun turut mengembara. Ia berjalan dengan sehelai sepinggang. Yang dibekalinya ialah sebuah karung.
Nun jauh di sana, di puncak gumuk pasir, beberapa orang berkuda sedang mengintai-ngintai, berkata salah seorang mereka, “Nampaknya kafilah ini senang diserang hendap. Pasti ada habuan!”
Debu-debu pasir berterbangan, bak angin ribut melanda. Sekumpulan pemuda berkuda bersenjata menyerbu dan akhirnya mengepung kafilah. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyerah sahaja. Melawan pun tidak berguna, hanya mengundang bencana. Mereka menyerahkan segala harta yang dibawa.
Setiap orang digeledah hartanya. Sehingga tibalah orang terakhir... rupanya seperti seorang kanak-kanak yang terbiar. Kanak-kanak sepertinya pasti tidak mempunyai apa-apa, melainkan belas ihsan orang.
Ketua perompak pun bertanya kepadanya, dengan nada bersahaja, “Apa yang engkau bawa, wahai kanak-kanak!”
“Karung, tuan.”
“Apakah isinya?” orang-orang suruhannya sudah menghunus pedang masing-masing, agar kanak-kanak itu tidak teragak-agak untuk menjawab.
“Empat puluh keping wang emas dinar.”
“Apa?” perompak-perompak terperanjat.
“Engkau, periksa karungnya!” seorang perompak membuka karung yang dibawa kanak-kanak kecil itu. Matanya terbeliak, katanya, “Tuan, dia berkata benar!”
Ketua perompak kehairanan. Keningnya naik. Misainya lentik. Matanya mengicing, seolah-olah menyindir. “Hai kanak-kanak, engkau tahu kami adalah perompak-perompak yang merampas harta benda. Kami adalah orang-orang yang kejam. Seluruh kafilah ini, senang-senang sahaja kami tawan. Nyawa mereka terletak pada tangan kami. Sama ada mereka kami bunuh, ataupun kami jadikan hamba abdi!”
Kanak-kanak itu diam, riak wajahnya memancar cahaya ketenangan.
“Mengapakah engkau begitu bodoh berlaku jujur? Mengapa engkau tidak menipu sahaja, agar harta dan nyawa engkau selamat?” Kanak-kanak itu merenung tajam, ia diam tiada terkata. Ketua perompak tidak sabar menanti jawapannya, “Mengapa?”
“Tuan, saya ini penuntut ilmu. Ibu membekali saya dengan wang ini. Ia berpesan kepada saya satu sahaja.”
Ketua perompak disusuli perompak yang lain ketawa mengilai. Mereka begitu takjub akan keanehan kanak-kanak suci itu. Kata ketua perompak, “Apakah pesan ibumu?”
Jawab kanak-kanak itu, “Bahawa ibuku berpesan, agar aku tidak berlaku khianat dan sentiasa jujur. Itu sahaja.”
Katanya lagi, “Jika aku berbohong, maka Allah Maha Mengetahui aku berbohong. Apalah guna aku hidup begitu?”
Perompak-perompak terbungkam seribu bahasa. Bagaimanakah seorang kanak-kanak menghadapi sekumpulan yang boleh menanggalkan kepalanya, merampas hartanya, begitu berani memegang janji kepada ibunya? Ketakjuban mengalir, keinsafan melilit hati-hati yang dibelenggu kegelapan. Pasti kanak-kanak ini seorang yang akan menjadi seorang yang luar biasa!
Perompak-perompak tersebut telah melafazkan kata taubat di hadapan seorang kanak-kanak yang luar biasa teguh memegang janji. Kanak-kanak itu bukan calang-calang manusia. Dia tidak tahu, tika sampai usianya, puluhan ribu manusia bertaubat di tangannya.
Dialah Syeikh Abdul Qadir Jailani, seorang ulama sufi agung. Ia adalah pembentuk generasi terbaik pada zamannya. Iaitu generasi Salahuddin yang membebaskan kota Baitulmaqdis dari cengkaman tangan-tangan kotor bangsa Salibi...(artikel dr sini)
jangan berlaku khianat dn sentiasa brsikap jujur.itu pesan ibu kepada kanak2 itu..bersikap jujurlah dimana org tidak berlaku jujur..bersikap jujurlah di mana orang tidak akan jujur...berlaku jujurlah di mana orang tidak bisa melaksanakannya...
meraih kepercayaan org..mudah.tp untuk menghilangkannya juga tidak sukar.bak kata pepatah melayu.. Orang memegang kerbau pada talinya, memegang manusia pada katanya
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat. (Yunus 10:9)
No comments:
Post a Comment